ADAT
Perkataan “adat” adalah pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Istilah ini sendiri memberi pengertian yang agak meluas dalam situasi satu bentuk perbuatan atau tingkah laku dan cara manusia berfikir yang telah wujud dan diamalkan begitu lama sehingga dianggap tradisi. Dari aspek lain, adat ditakrifkan sebagai suatu aturan dan cara hidup yang mencerminkan perlakuan harian, bermusim sama ada berdasarkan bulan atau tahun. Boleh dikatakan setiap peringkat bangsa, kaum, etnik atau suku mempunyai tafsiran dan pengertian berbeza. Justeru, bagi memahami maksud adat sesuatu masyarakat itu kita harus menggunakan atau memahami budaya dan falsafah hidup mereka.
Adat adalah peraturan hidup merangkumi gagasan kebudayaan yang terdiri daripada nilai-nilai kebudayaan, norma, kebiasaan, kelembagaan dan hukum adat yang lazim dilakukan di sesuatu tempat. Contohnya di dalam masyarakat Minangkabau, adat ditafsirkan kepada empat makna iaitu:
- Adat yang Sebenar Adat
- Adat yang Teradat
- Adat yang Diadatkan
- Adat Istiadat
Secara umumnya, kebiasaan sesuatu perkara yang dilakukan itu telah sebati dalam kehidupan sesuatu masyarakat sama ada dari suatu negara, kebudayaan, waktu atau agama. Adat dapat diteruskan dengan adanya informasi yang disampaikan dari generasi ke generasi, baik secara bertulis ataupun lisan. Sesebuah masyarakat juga menjalani kehidupan berdasarkan amalan nenek moyang mereka sebagai menyempurnakan atau melaksanakannya sebagai satu peraturan. Peraturan ini menjadi amalan sifat dan tabiat manusia semulajadi di mana lama-kelamaan telah menjadi kebiasaan atau satu kemestian yang diikuti secara turun-temurun bagi mengekalkan tradisi sesuatu kaum itu.
Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat sebagai satu sistem nilai yang berbeza. Sesuatu perkataan yang amat sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari segi bunyinya berbeza tetapi dari segi pengertiannya, ia saling berkaitan dan memerlukan antara satu sama lain. Namun, apa juga tafsiran dan perbezaan adat dalam sesebuah masyarakat itu, tujuannya adalah sama, iaitu untuk membentuk suatu masyarakat yang maju, dinamik dan progresif. Adat juga dapat mencerminkan jiwa suatu masyarakat atau bangsa dan ia merupakan suatu keperibadian dari satu-satu masyarakat atau bangsa.
Jabatan Warisan Negara telah mengambil langkah pro-aktif dalam melestarikan warisan terutama butiran adat demi kesinambungan penyelidikan, pembelajaran, pengiktirafan pendokumentasian, dan penerbitan dalam mengekalkan adat warisan negara. Butiran adat yang telah diiktiraf dan diisytiharberdasarkan seksyen 67. (2) di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] sehingga tahun 2015 adalah seperti:

- Sogit (Kadazan)
- Adat Mandi Anak Iban
- Adat Perpatih
- Adat Pijak Tanah
- Adat Temenggung
- Berkhatan / Bersunat Anak-anak Melayu
- Buka Tanah Baru (Iban Sarawak)
- Cukur Jambul / Naik Buai (Kaum Melayu)
- Magavau
- Melenggang Perut (Kaum Melayu)
- Adat Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong
- Adat Perkahwinan Melayu
BERIKUT MERUPAKAN CONTOH-CONTOH SENARAI BUTIRAN ADAT YANG TELAH DIANGKAT SEBAGAI WARISAN KEBANGSAAN
BUTIRAN : ADAT PERTABALAN
KATEGORI : ADAT DAN BUDAYA
Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diadakan di Balairong Seri, Istana Negara sejak Yang di-Pertuan Agong yang ke-7.
Adat pertabalan ini terbahagi kepada beberapa tahap iaitu dimulakan dengan persiapan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong ke Balairong Seri dengan diiringi oleh juruiring-juruinring baginda dan Dang Perwara serta panglima-panglima yang membawa Alat-alat Kebesaran Diraja. Susunan Istiadat Pertabalan ini adalah seperti berikut :
• Ketibaan Seri Paduka Baginda
• Permulaan Istiadat Pertabalan
• Watikah Pengisytiharan
• Penyerahan Keris Kerajaan
• Penyerahan Watikah Ikrar
• Ucapan Tahniah dan ikrar Taat Setia Kerajaan dan Rakyat Malaysia
• Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong
• Pembacaan Doa
• Penerimaan Al-Quran
• Istiadat Pertabalan Tamat
• Keberangkatan Baginda
Upacara Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu hari yang dinamakan sebagai “Hari Kolar”. Maka, Kolar harus dipakai bagi semua penerima Darjah Kebesaran. Apabila memakai Kolar Darjah Kebesaran, selempang bagi Darjah Kebesaran yang sama tidak harus dipakai. Walau bagaimanapun, selempang dari Darjah Kebesaran yang lain boleh dipakai. Hanya satu Kolar sahaja yang boleh dipakai dan ianya dipakai di kedua-dua bahu dan terletak sama panjang dari depan ke belakang dengan lencana terletak pada dada. Dalam kes pemakaian formal atau beruniform, Kolar seharusnya dipakai melalui jerumbai. Kolar tidak perlu dipakai ketika Santapan Diraja.
BUTIRAN : ADAT BERPANTANG SELEPAS BERSALIN
KATEGORI : ADAT DAN BUDAYA
KETERANGAN BUTIRAN :
Kebiasaannya masyarakat Melayu mengamalkan tempoh berpantang antara 40 hingga 44 hari malah ada juga mengamalkan sehingga 100 hari. Hal ini berkait rapat dalam amalan Islam kerana tempoh nifas sehingga 40 hari dan maksimum 60 hari. Amalan berpantang dalam masyarakat Melayu adalah bertujuan untuk mengembalikan bentuk badan dan kecergasan diri wanita tersebut.
Penjagaan masyarakat Melayu semasa berpantang dilakukan untuk membantu memulihkan keadaan si ibu yang keletihan dan lemah semasa melahirkan bayi. Justeru, amalan turun temurun seperti berurut, bertungku, berbengkung, mandian herba, bertangas dan minum air akar kayu serta memakan jamu masih diamalkan masyarakat Melayu hingga kini.
Comments
Post a Comment