SENI PERTAHANAN DIRI
Setiap bangsa mempunyai ilmu seni bela diri atau ilmu seni mempertahankan diri. Bagi masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia dan mempunyai budaya yang pelbagai dan telah lama menjadi kebanggaan dan keunikan negara kita secara amnya. Walaupun wujudnya perbezaan antara satu kumpulan etnik dengan yang lain, tetapi masyarakat Malaysia masih hidup dalam keadaan yang aman damai. Setiap kaum mempunyai seni pertahanan diri yang tersendiri dan telah diwarisi sejak turun-temurun, serta diamalkan sebagai satu warisan budaya.
Seni pertahanan diri telah lama wujud sejak berkurun abad dahulu. Terdapat beberapa jenis seni mempertahankan diri di negara ini. Antaranya adalah Seni Persilatan Melayu, Silambam, Wushu, Kuntau dan sebagainya. Seni mempertahankan diri juga sering dikaitkan dengan amalan budaya sesuatu kaum dan seni ini haruslah dilihat dalam konteks yang lebih holistik iaitu sebagai asas menyatupadukan masyarakat di negara ini. Hal ini kerana seni pertahanan diri bukan hanya bertujuan untuk melahirkan individu-individu yang berdisiplin tinggi malah mendidik hati dan jiwa pengamalnya memupuk semangat cintakan tanah air, bangsa dan agama.
Terdapat 2 jenis seni pertahanan diri yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan iaitu:
- Silat (Seni Persilatan Melayu)
Setiap bangsa mempunyai ilmu seni mempertahankan diri atau seni bela dirinya yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu kesenian bela diri mereka ini lebih dikenali sebagai Silat, contohnya Gayang Lima, Gayung, Pulut, Bunga, Harimau, Sendi Naga, Cimande, Cekak, Kunta, Hamboran dan sebagainya adalah antara nama-nama besar perguruan Silat yang terdapat di Malaysia. Menurut tradisi lisan masyarakat melayu Silat juga dikatakan berasal daripada perkataan pinjaman dari bahasa Arab iaitu Silah. Silah yang dimaknakan sebagai Silat dengan mengambil contoh perkataan lain pinjaman bahasa Arab antaranya ialah seperti ‘karamah’ dimaknakan dengan ‘keramat’ dan ‘hikmah’ dimaknakan dengan ‘hikmat’ maka begitu jugalah ‘Silah’ dimaknakan dengan ‘Silat’. Melalui tradisi lisan, definisi Silat ini telah memberi makna bahawa Silat itu adalah berteraskan tunjang agama Islam sebagai sumber, setiap pengamal Silat di Malaysia adalah beragama Islam. Penggunaan bahasa Arab menjadi tautan yang rapat dalam jiwa dan minda orang Melayu yang menganut agama Islam. Islam dan Melayu adalah elemen yang disinonimkan dalam setiap gerak kehidupan orang Melayu itu sendiri. Oleh itu, penggunaan pinjaman kata dari bahasa Arab ini secara tidak langsung menjadi sandaran utama dalam menghuraikan falsafah budaya dan kesenian masyarakat Melayu itu sendiri. Silat itu silah dan diertikan sebagai perhubungan. Makna perhubungan itu merangkumi aspek perhubungan antara manusia dengan manusia, manusia dengan musuh manusia, manusia dengan alam semulajadi sehinggalah pencarian makna Silat itu bertemu dan mencapai makna spiritual iaitu perhubungan antara manusia dengan penciptanya (Mokhtar Abd Razak, Gayang Lima 2018).
- Silambam
Silambam
Silambam merupakan sejenis seni mempertahankan diri yang terunggul bagi bangsa Tamil di seluruh dunia. Para pengkaji berpendapat bahawa seni silambam ini telah wujud sejak 5000 tahun dahulu iaitu sejak zaman pra-sejarh dan sebelum kedatangan kaum Aryan ke India. Justeru, seni silambam ini boleh dianggap sebagai seni mempertahankan diri yang tertua di dunia. Seni Silambam merupakan satu seni di dalam 64 jenis seni yang digariskan oleh masyarakat Tamil tradisional sebagai seni mempertahankan diri yang perlu dipelajari untuk menjadi insan yang sempurna.
Semasa perkembangan agama buddha, seni mempertahankan diri ini telah dibawa ke China dan Jepun oleh sami-sami Buddha khususnya, Bodhidharma telah mempertahankan seni ini di kota Sang han, Negeri Wei di utara China. Seni Silambam telah mengalami perkembangan pesat pada awal abad ke 16. Ia menjadi asas dan penting bagi kekuatan fizikal di dalam latihan ketenteraan sebelum diajar seni pedang. Seni Silambam telah berkembang ke Asia Tenggara di antara 1000 hingga 1500 tahun yang lalu. Perkembangan ini adalah hasil usaha raja-raja Tamil daripada India yang merantau ke rantau ini.
Pada akhir abad ke-14, pekerja-pekerja Tamil daripada India ke Malaya iaitu Malaysia, oleh penjajah Inggeris. Pekerja-pekerja ini telah membawa seni Silambam ini ke Malaya. Namun demikian, guru-guru yang telah mengajar seni ini dapat dikesan hanya berada sejak tahun 1920 sahaja. Semasa perang dunia ke-2, seni Silambam telah menjadi popular khasnya di Kuala Selangor, Kapar dan Kelang. Oleh kerana seni ini ialah seni yang dibawa masuk ke Malaya dari luar, maka ia tidak mendapat pengiktirafan dari segi undang-undang di bawah penjajahan barat. Justerunya seni Silambam perlu diajar secara rahsia, di dalam hutan dan tempat-tempat yang tidak dilalui orang.
Comments
Post a Comment